KUALA LUMPUR 25 Ogos - Terbit rasa terkilan dan kecewa di hati penyanyi Stacy, 25, atau nama sebenarnya Stracie Agnes Anam selepas melihat gambar serta video rakamannya mengucap dua kalimah syahadah di Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Johor Bahru tersebar meluas di Internet.
Berasa dirinya dianiaya, Stacy menyifatkan penyebaran tersebut satu tindakan yang tidak wajar kerana membantutkan kegembiraannya memeluk agama Islam yang direncanakan sejak setahun lalu.
Menurut penyanyi Pakai Buang itu, dia yakin video dan gambar berkenaan disebarkan oleh salah seorang yang berada di dalam pejabat JAIJ yang turut menyaksikan proses pengislaman Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Abdullah.
“Saya tahu dia duduk berhadapan dengan saya berdasarkan sudut rakaman video dan gambar berkenaan. Sedangkan, ketika memasuki pejabat tersebut, wakil JAIJ berjanji bahawa proses tersebut adalah sulit dan rahsia.
“Jadi saya rasa teraniaya apabila janji tersebut diingkari setelah mendapat tahu ia disebar secara meluas. Perasaan saya yang gembira setelah memeluk Islam bertukar menjadi sedih dan kecewa setelah menerima berita itu,” katanya dalam sidang akhbar tergempar yang diadakan di Astro, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
0 comments:
Post a Comment