Aktres berbakat besar, Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah binti Saifuddin melahirkan rasa bimbang apabila melihat semakin banyak kes-kes yang membabitkan kanak-kanak terpampang di dada-dada akhbar termasuklah kes pedophilia yang berlaku baru-baru ini.
“Sekarang ini banyak sangat gejala sosial atau kes-kes yang membabitkan kanak-kanak berlaku di negara kita. Ia menjadi kebimbangan besar buat saya lebih-lebih lagi anak saya, Nur Eishal yang berusia lima tahun setengah, akan mula bersekolah pada September ini. Secara jujur, saya risau jika anak saya diculik atau dibuli kerana dialah harta saya dunia dan akhirat. Bohonglah jika tak ada kerisauan itu dan saya doakan semuanya berada dalam lindungan Allah,” tutur Eja kepada Tonton Extra.
Eja bercakap demikian ketika berkongsi mengenai telefilem raya lakonannya, ‘Gerobok Raya’ yang bakal disiarkan pada raya kesembilan di TV3. Telefilem arahan Heykal Hanifah itu mengisahkan tentang seorang anak yang hilang pada petang sebelum raya gara-gara merajuk kerana ibunya membuat baju raya warna lain untuk dirinya.
“Sekarang ini banyak isu hilang anak berlaku di negara kita dan ini merupakan salah satu mesej yang kita cuba sampaikan kepada penonton. Cerita ini lain dari yang lain dan mempunyai kekuatan serta impak yang tersendiri. Sebelum ini saya pernah bawa watak sebagai ibu tetapi penjiwaan watak kali ini lebih mendalam kerana sekarang saya juga seorang ibu. Saya tak boleh bayangkan jika kejadian seperti itu berlaku kepada diri kita,” ujar Eja yang kini lebih mengutamakan keluarga berbanding karier.
“Bila dah ada anak, komitmen lain dan apa saja yang saya buat sekarang keutamaannya lebih kepada keluarga. Sekarang saya tidak lagi mengambil tawaran yang memerlukan saya outstation atau ke luar negara. Lagipun, sudah 18 tahun saya dalam industri. Sampai bila saya nak hambakan diri dalam industri,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai raya, Eja memberitahu sudah lima tahun dia beraya di Ipoh, Perak memandangkan ibu mertuanya tidak sihat. Eja turut berkongsi, selain sibuk sebagai pengacara ‘Semanis Kurma’ di TV9, dia juga bakal terlibat dengan sebuah telefilem selepas raya nanti.
Jangan ketinggalan untuk menonton ‘Gerobok Raya’ pada hari raya kesembilan (25 Julai), jam 9 malam hanya di TV3. Anda juga boleh catch up tayangannya di www.tonton.com.my.
Telefilem yang turut dibintangi Zamarul Hisham, Shukri Yahaya, adik Khairisya dan Zarina Zainordin ini mengisahkan tentang Zah dan Muhsim yang kehilangan anak tunggal mereka, Fatiyah ketika dia berusia 9 tahun.
Semuanya bermula apabila Fatiyah keluar untuk ke kedai, dia masih tidak muncul selepas 10 tahun. Ramai yang simpati dan mengatakan Zah gila kerana setiap Hari Raya, Zah akan menjahit baju kurung berwarna merah atau biru untuk Fatiyah dan disimpan di dalam gerobok.
Suatu hari, heboh tentang berita penemuan tulang kanak-kanak di sebuah tangki air dan orang kampung mengesyaki ia adalah mayat Fatiyah.
SUMBER : TONTON.COM.MY
0 comments:
Post a Comment