BAGAIMANA perasaan anda bila dipaksa naik trak polis? Mesti berdebarkan, tambahan pula anda seorang sahaja wanita yang ditahan. Itulah pengalaman ngeri yang dialami oleh pelakon jelita Sari Yanti sewaktu menjalani penggambaran drama Mencari Mubarakh di Turpan, Xinjang, China pada Jun tahun lepas.
Katanya, dalam seumur hidup belum pernah alami pengalaman sebegitu dan tiba-tiba berlaku ke atas dirinya sewaktu di luar negara pula. Memang menakutkan walaupun sekadar dibawa naik trak polis.
Sari Yanti dan kru ditahan sewaktu mereka menjalani penggambaran di tanah perkuburan kerana didakwa menceroboh kawasan tersebut. Namun semua salah faham itu selesai selepas Pengurus Lokasi, Dr. Rozmizah Chomil menjelaskan tujuan mereka berada di situ dan menunjukkan surat izin daripada pihak pelancongan Xinjiang.
“Kalau ditahan, saya seorang sahaja perempuan. Saya dah suruh adik bersiap sedia untuk hubungi pejabat kedutaan kalau saya kena tahan. Alhamdulillah, semua itu hanya salah faham dan akhirnya kami dilepaskan dan meneruskan penggambaran,” katanya yang melakonkan watak Masyitah.
Tambah Sari Yanti, selain ditahan polis, dia juga sempat dimasukkan ke hospital tempatan di sana kerana demam panas.
“Cuaca di sana memang panas, kira-kira 45 darjah celsius dan berdebu kerana ia kawasan padang pasir. Bila malam dingin sangat. Saya dan Shah Jaszle dimasukkan ke hospital kerana demam panas, gara-gara kami keletihan kerana perjalanan yang jauh. Sempat jugalah air dimasukkan ke dalam badan kami.
“Biarpun saya alami pelbagai dugaan tetapi saya suka tengok suasana di sana. Dapat lihat pokok anggur sepanjang jalan dan satu lagi masyarakat di sana suka makan tembikai. Sewaktu penggambaran, orang di sana macam biasa saja dengan aktiviti mereka. Jadi kerja kami berjalan lancar, cuma yang di kawasan perkuburan itu sahaja,” tambahnya.
Bila ditanya bagaimana mereka berkomunikasi dengan penduduk tempatan kerana masyarakat di sana bertutur dalam bahasa Uighur dan mereka juga tidak ada masalah makanan kerana di sana ramai orang Muslim.
Jelas Sari, mereka tidak menghadapi masalah untuk bertanya arah atau membeli belah kerana ada juga orang di sana yang bertutur Mandarin dan orang yang bertanggungjawab menjadi jurucakap mereka ialah Shah Jaszle yang memang mahir berturut Mandarin.
Drama Mencari Mubarakh terbitan NS Star Sdn. Bhd., arahan Kas Roshan mula disiarkan di TV1 sejak 30 Jun lalu, setiap Isnin hingga Jumat, pukul 8.30 malam. Turut menjayakan drama 13 episod ini ialah Arja Lee, Shereen Al, Boy Ngasri, Mimi Lana, Zarina Zainudin, Hilal Azman dan ramai lagi.
Kalau produser lain suka menjadikan Eropah sebagai lokasi penggambaran, beza kisahnya dengan Darling Ngasri kerana dia lebih gemar memilih negara China sebagai latar belakang drama. Untuk Mencari Mubarakh, Darling memilih Urumqi dan Turpan, Xinjiang. Dulu sewaktu drama Cinta Shanxi lakonan Lisdawati dan Ako Mustafa, Shanxi, China menjadi pililihannya.
Bila ditanya kenapa pilih China, kata Darling, dia suka negara itu kerana unik dan tidak jauh daripada Malaysia berbanding Eropah. Lagipun kata Darling, dia ingin menonjolkan budaya dan kehidupan masyarakat Islam di sana.
“Ramai sangat yang buat ke barat, biar saya buat kat negara yang orang jarang buat. Sebenarnya saya suka cabaran. Nak minta izin untuk melakukan penggambaran di sana bukan mudah. Berbulan juga saya kena tunggu sebelum mendapat keizinan.
“Sebelum penggambaran, selalunya saya akan pergi tengok lokasi dulu. Untuk tengok lokasi saya ambil masa 10 hari sebab saya mencari dua lokasi. Mana tahu kalau plan A tidak menjadi ada plan B. Alhamdulillah, boleh buat di Urumqi dan Turpan,” ceritanya tentang lokasi.
Menyentuh pula mengenai kos, kata Darling, bajet yang diperuntuk untuk drama tulisan Farhana Fauri itu memang besar dan objektif utamanya adalah untuk menghasilkan drama yang bersifat kekeluargaan dan di waktu yang sama dapat memberi pengajaran kepada penonton.
Sewaktu di sana juga, kru seramai 12 orang itu sempat menjalani penggambaran untuk telemovie berjudul Airmata Xinjiang.
“Telemovie Airmata Xinjiang berlatar belakangkan Misi Bantuan Kemanusiaan NGO dan doktor-doktor Malaysia yang dihantar ke Xinjiang kerana Gempa Bumi di Xinjiang yang berlaku pada Februari 2014 dan telah mengorbankan banyak nyawa.
“Sekarang ini saya juga dalam perancangan untuk menerbitkan filem dan antara lokasi yang menjadi pilihan saya adalah Tibet. Harap semuanya berjalan lancar,” katanya yang belum menetapkan barisan pelakon.
0 comments:
Post a Comment